Hati keluarga terguris, Subkhiddin letak jawatan 

Oleh Penulis Jemputan 5 November 2018 14620
Hati keluarga terguris, Subkhiddin letak jawatan 
"Dua hari saya fikirkan keputusan ini," kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Salleh, yang melepaskan jawatannya selaku exco FAM dan pengerusi jawatankuasa itu hari ini. 

"Saya mengambil keputusan untuk berhenti (meletak jawatan). 

"Tiada lagi jawatan selaku pengerusi, tiada lagi jawatan exco FAM.

"Saya akan serahkan surat (peletakan jawatan) kepada FAM untuk (mereka) mendapatkan pengerusi yang baru. 

"Saya harap semua orang berpuas hati," ujarnya. 

Pengumuman Subkhiddin itu membuatkan setiap individu yang menghadiri sidang media Jawatankuasa Pengadil di Wisma FAM terdiam kerana tidak menjangkakan itu kata-kata akhir yang keluar daripada mulut bekas pengadil berpengalaman tersebut.

Subkhiddin mengumumkan melepaskan jawatan yang disandang dalam FAM, namun isu sebenar yang membawa kepada keputusan itu menjadi tanda tanya.

Dia ada menyatakan rasa terkilan ekoran kecaman yang diterima daripada netizen, namun khabar angin turut menyentuh peletakan jawatan Subkhiddin ekoran isu dalaman yang berlaku dalam FAM sendiri.

"Keputusan ini bukan disebabkan (kritikan) oleh bekas presiden seperti di Terengganu.

"Saya tidak goyang, saya tidak takut tetapi apabila melibatkan keluarga, saya agak sensitif. 

"Kekuatan saya terletak kepada keluarga, apabila anak perempuan saya terusik dengan perkataan yang ditujukan kepada saya walaupun dia tidak menyatakannya, daripada nada suaranya saya tahu dia tersentuh," tambahnya. 

Subkhiddin memenangi jawatan exco FAM dan dilantik selaku pengerusi Jawatankuasa Pengadil untuk penggal 2017/2021.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen