Gunalan pasang percaturan tanpa Nazmi Faiz

Oleh Shaiful Shamsudin 14 Oktober 2016 0
Gunalan pasang percaturan tanpa Nazmi Faiz
Pemangku jurulatih Selangor, K Gunalan, tidak berasa ketiadaan perancang tengah, Nazmi Faiz Mansor, akan menjejaskan aksi Selangor untuk berdepan T-Team dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Kuala Terengganu, malam esok. 

Nazmi semakin pulih daripada kecederaan kepala yang dialaminya dalam aksi separuh akhir pertama dengan T-Team sebelum ini. 

Namun, Gunalan percaya kelibat Saiful Ridzwan Selamat mampu mengisi ketiadaan Nazmi. 

"Sudah 12 hari dia tidak dapat menjalani latihan bersama kami. Tetapi dia telah berjumpa dengan kakitangan perubatan kami bagi menjalani rawatan. 

"Memandangkan kami akan bermain di tempat lawan, kami perlu lebih menumpukan aspek bertahan dan pada masa yang sama perlu memikirkan soal menyerang. 

"Kami memiliki tiga calon untuk menggantikan Nazmi dan saya rasa Saiful Ridzwan mungkin paling sesuai untuk bermain di Kuala Terengganu," katanya. 

Gunalan turut menyambut baik kepulangan lima pemain kebangsaan yang kembali berlatih bersama pasukan semalam. 

Selain Nazmi, kesemua pemain Selangor lain kini cergas dan Gunalan mempunyai lebih banyak pilihan dalam mencatur kesebelasan terbaiknya. 

"Bukan senang untuk saya memilih senarai 18 pemain kerana mereka kesemuanya bebas daripada kecederaan. 

"Ini merupakan satu petanda baik. Harap-harap saya dapat menurunkan barisan terbaik di Terengganu."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen