Shahrom Kalam atau Rizal Fahmi Rosid -- itu dilema pemangku jurulatih Selangor, K. Gunalan, dalam mencari pasangan terbaik untuk digandingkan bersama Ugo Ukah dalam aksi final Piala Malaysia, Ahad ini.

Sepanjang ketiadaan Shahrom yang mengalami kecederaan, Rizal telah mengisi kekosongan yang ditinggalkan dan dia berjaya untuk membentuk gandingan yang mantap bersama Ugo sejak Julai lalu.

Namun, Shahrom yang juga kapten pasukan kelihatan semakin cergas, malah beraksi bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan persahabatan menentang Singapura, 7 Oktober lalu.

Situasi itu pasti membuatkan Gunalan pening untuk memilih di antara Shahrom dan Rizal, bagi diturunkan dalam misi mengekang jentera serangan Kedah.

"Setelah saya mengambil alih pasukan, gandingan adalah di antara Ugo dan Rizal. Kembalinya Shahrom menambahkan keyakinan pasukan dan juga memberikan saya pilihan pemain.

"Pada bila-bila masa Shahrom boleh beraksi kerana dia bermain perlawanan bertemu dengan Johor Darul Ta'zim dan juga ketika bertemu T-Team," ujarnya.

Jelas Gunalan, dia melihat kekuatan pertahanan Selangor akan menjadi salah satu strategi utama untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

Tidak gentar dengan kelincahan jentera serangan lawan yang diketuai Liridon Krasniqi, Gunalan sedar apa yang perlu direncanakan bagi memastikan Kedah terus kempunan untuk mendakap Piala Malaysia.

"Dengan kehadiran Ugo, saya berasa dia menyedari kelebihan pemain lawan kerana Ugo beraksi ketika kami tewas 2-0 kepada Kedah.

"Saya telah bercakap dengan pemain-pemain, saya berasa mereka yang akan digandingkan akan bermain dengan baik dalam perlawanan akhir."