Gara-gara tiket habis awal, penyokong hampir cetus kecoh

Oleh Penulis Jemputan 1 November 2017 1646
Gara-gara tiket habis awal, penyokong hampir cetus kecoh
Sebahagian besar penyokong di Stadium Darulaman pulang hampa apabila 10,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) habis dijual dalam tempoh 45 minit, pagi ini.

Berbanding dua perlawanan akhir sebelum ini, penyokong Kedah yang ditemui rata-rata terkejut kerana ia habis lebih awal daripada biasa.

Walaupun empat kaunter dibuka dengan setiap peminat dihadkan tiga tiket sahaja dalam satu pembelian, mereka menganggap 45 minit terlalu pantas jika benar 10,000 tiket dijual.

"Kami datang jam 4 pagi, ada yang datang lebih awal, dari jam 8 malam tadi pun belum dapat tiket lagi. Bayangkan, sekejap sahaja tiket sudah habis, macam mana?," kata salah seorang penyokong Kedah.

Lantaran itu, kekecohan hampir tercetus di perkarangan utama stadium apabila ada penyokong mahu menyerbu masuk ke Pejabat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Namun, tindakan pantas pihak polis berjaya menyuraikan keadaan sebelum ia menjadi lebih serius.

Dalam pada itu, di Stadium Shah Alam, segelintir penyokong turut melahirkan rasa tidak puas hati apabila tiada jualan tiket di sana, sebaliknya hanya kaunter penebusan yang dibuka bermula hari ini.

"Dalam perlawanan final sebelum ini, saya datang ke sini dan boleh membeli tiket. Tetapi hari ini tidak dapat walaupun saya datang dari 5.30 pagi," kata salah seorang penyokong di Stadium Shah Alam.

Kedah dan JDT akan berentap dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen