Prestasi luar biasa yang ditonjolkan pemain sayap kiri, Nor Hakim Hassan, menjadi pemacu utama kemenangan besar 5-0 Perak ke atas Sabah semalam yang meletakkan mereka kini dalam situasi hampir pasti ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Satu gol dan tiga bantuan jaringan, kelibat pemain berasal dari Terengganu tersebut umpama lipas kudung yang tidak mampu ditangani pertahanan Sabah.

Pemain yang baru meraih panggilan kebangsaan itu bukan sahaja bergerak dari sebelah kiri, malah bijak mencari ruang di bahagian tengah untuk memberi bantuan kepada Gilmar Da Silva dan Wander Luiz.

Sehubungan itu, Nor Hakim sudah tidak sabar untuk beraksi di pentas final buat julung kalinya selepas lapan tahun beraksi sebagai pemain profesional.

"Salah satu hajat saya kini sudah tercapai, iaitu untuk membantu Perak mara ke final.

"Terima kasih kepada rakan sepasukan dan pihak pengurusan.

"Kalau kami berjuang dengan ikhlas, Insya-Allah kejayaan akan tiba," katanya.

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, tidak mahu anak buahnya terlalu dibuai kejayaan itu kerana masih ada separuh akhir kedua di Likas dalam tempoh dua minggu lagi.

Mengenai lima pemainnya menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi dua aksi persahabatan, Durakovic tidak keberatan memberi pelepasan dan sudah bersedia dengan langkah susulan jika berlaku sebarang kecederaan.

"Saya berpuas hati dengan persembahan barisan pemain Perak tetapi ia tidak akan mudah apabila kami bertandang ke Sabah nanti meskipun situasi memihak kami.

"Sudah tentu ia satu penghormatan untuk pemain mendapat panggil kebangsaan.

"Saya tidak bimbang seandainya mereka kembali dengan kecederaan, namun jika itu berlaku, saya masih mempunyai pemain lain untuk diketengahkan.

"Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada anak buah saya serta Malaysia," ujar pengendali kelahiran Australia itu.

Dalam pada itu, isu tunggakan gaji selama tiga bulan diakui ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, serba sedikit memberi kesan terhadap persembahan longlai pemain ketika menghadapi tentangan The Bos Gaurus.

Walaupun telah cuba sedaya upaya untuk membantu daripada segi psikologi, ia masih belum cukup untuk membakar semangat pemainnya menampil prestasi terbaik.

"Ya, saya akui masalah kewangan mungkin punca kami tewas kerana kami hanyalah manusia biasa.

"Apabila emosi pemain terganggu, ia sesuatu yang sukar dipulihkan sebenarnya," ujar beliau.

Bagi aksi di Likas nanti, Jelius tidak menafikan ia seperti satu misi mustahil untuk memadamkan defisit lima gol, namun dia akan cuba sekurang-kurangnya mendapatkan kemenangan bagi memelihara maruah Sabah.

"Kami akan cuba memperbaiki aksi di tempat sendiri nanti.

"Sekalipun gagal menyekat kemaraan Perak, saya harap sekurang-kurangnya kami mampu menang.

"Ia penting kerana melibatkan maruah pasukan," katanya lagi.