"Ini bukan misi mustahil!" Itu ketegasan yang disuarakan ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mengenai peluang skuad The Bos Gaurus untuk menumbangkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Larkin esok bagi melangkah ke pentas final musim ini.

JDT mempunyai rekod hebat di laman sendiri apabila merekodkan 44 perlawanan tanpa kalah selepas kali terakhir skuad Harimau Selatan itu tewas ketika bertemu Felda United pada November 2015.

Berdasarkan rekod itu, sememangnya anak buah Durakovic berdepan ujian getir untuk aksi timbal balik menentang juara empat kali Liga Super itu.

"Tiada apa yang mustahil, masih ada 90 minit. Benar, JDT memiliki rekod yang cemerlang di laman sendiri tetapi kami akan turun memberikan aksi terbaik," kata Durakovic.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama di Ipoh, Ahad lalu, dan semestinya Perak kini memerlukan kemenangan atau mencatatkan keputusan seri dengan lebih daripada satu gol untuk mara ke final sejak kali terakhir melakukannya 10 tahun lalu.

"Saya berharap 90 minit akan memihak kepada kami walaupun sedar ia tugas sukar kerana berdepan banyak masalah kecederaan dan beberapa pemain yang tidak dapat beraksi atas perjanjian sebelum ini tetapi ini adalah bola sepak.

"Kami tidak ke final selama 10 tahun, jadi inilah peluang kami," tegasnya.