Dollah mahu Pahang tebus maruah dalam Piala Malaysia

Oleh Muzaffar Musa 24 Oktober 2020 933
Dollah mahu Pahang tebus maruah dalam Piala Malaysia
Selepas sunyi daripada sebarang gelaran sepanjang dua musim ini, ketua  jurulatih Pahang, Dollah Salleh, berharap anak buahnya mampu menebus maruah mereka dalam saingan Piala Malaysia bermula awal bulan depan.

Dollah mengakui pencapaian anak buahnya dalam saingan Liga Malaysia kian suram -- menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh dengan 14 mata -- dan walaupun masih belum reda dengan masalah kecederaan pemain, pengendali berusia 57 tahun itu tetap mengharapkan keajaiban dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

"Semalam saya sudah bercakap kepada pemain bahawa kami sudah tiada apa-apa yang tinggal memadangkan dalam saingan liga juga kami tidak ke mana.

"Jadi, dalam Piala Malaysia ini adalah peluang untuk kami melakukan sesuatu buat pasukan.

"Selama ini ramai yang berkata Pahang adalah pasukan yang kuat tetapi dengan masalah kecederaan yang dialami, kami tidak dapat kedudukan yang baik dalam liga.

"Tetapi dalam saingan Piala Malaysia ini, Insya-Allah kami akan memberikan yang terbaik," katanya.

Pahang dibelenggu masalah kecederaan melibatkan tiga pemain import, iaitu Herold Goulon,  Dickson Nwakaeme dan Adam Reed selain dua pemain tempatan, Faisal Halim dan Zuhair Aizat.

"Miki (Faisal) berkata bahawa Insya-Allah dia akan mula berlatih minggu depan dan Adam Reed juga akan mencuba (pulih secepat mungkin).

"Setakat ini, kesakitannya nampak OK tetapi keadaan mentalnya masih terganggu," tambah Dollah.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen