Christopher kecewa Piala Malaysia dibatalkan, hiburan dibenarkan

Oleh Muzaffar Musa 12 November 2020 4775
Christopher kecewa Piala Malaysia dibatalkan, hiburan dibenarkan
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj, kecewa dengan pembatalan Piala Malaysia musim ini, terutama selepas sektor hiburan masih dibenarkan beroperasi.

Berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di seluruh negara, kerajaan mengaplikasikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Semenanjung Malaysia kecuali di Kelantan, Pahang dan Perlis.

Susulan itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamantan Negara (MKN) untuk saingan itu dapat diteruskan tetapi rayuan berkenaan ditolak sehingga ia terpaksa dibatalkan.

Christopher, yang menjadi tetamu jemputan dalam temu bual khas Nadi Arena hari ini, berasa kecewa dengan pembatalan itu sambil tidak berselindung berasa sakit hati kerana sektor hiburan masih dibenarkan beroperasi.

"Sudah tentu saya sangat kecewa, saya kecewa dan mungkin marah kerana hiburan di depan mata saya masih diadakan," katanya seperti yang dipetik daripada temu bual itu.

"Saya rasa ia satu perkara yang tidak adil kerana pemain-pemain (bola sepak) juga bergaji dan memerlukan pendapatan masing-masing.

"Sudah tentu ia akan menjadi satu tamparan yang hebat buat setiap kelab kerana mereka terpaksa membayar gaji sehingga Disember ini.

"Sudah berapa bulan mereka tidak bermain? potongan gaji sudah dilakukan. 

"Ada kelab yang melakukan pemotongan gaji sehingga 10 peratus, 20 peratus, 30 peratus.

"Kami tidak mahu sehingga ada situasi di mana pemain terpaksa menjual pingat atau trofi mereka. Kami memang sedih apabila perkara seperti ini berlaku.

"Kerana ia (pembatalan ini) boleh mendatangkan masalah kewangan buat semua pihak, bukan sahaja buat MFL dan FAM tetapi juga buat pemain, kelab dan sebagainya," katanya.

Christopher berpendapat bola sepak atau sukan lain juga perlu menjana ekonomi sendiri, sama seperti industri hiburan.

"Kita perlu adil daripada seluruh perspektif, kita faham hiburan mempunyai sektor ekonomi sendiri tetapi sukan juga mempunyai sektor ekonomi sendiri.

"Tetapi jika SOP (prosedur operasi standard) bola sepak yang ketat digunakan, contohnya seperti dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), J-League dan Thai League, semalam kes positif di London sahaja hampir 24,000 tetapi liga tetap berjalan seperti biasa dan kejohanan peringkat Eropah juga masih diteruskan.

"Apa yang saya mahu katakan di sini adalah MKN sepatutnya membuat satu SOP yang boleh digunakan semua pihak.

"Kalau tidak boleh digunakan semua pihak, mungkin ada satu persamaan yang ketara untuk setiap industri.

"Seumpamanya, hiburan ada SOP mereka dan boleh digunakan kerana (menjana) ekonomi sendiri, maka kelonggaran juga perlu diberikan kepada sukan.

"Saya bukan berkata untuk bola sepak sahaja, ia mungkin melibatkan boling,  skuasy, badminton, ragbi dan sebagainya.

"Kita memerlukan industri sukan kembali aktif dan tidak boleh berada dalam keadaan seperti ini kerana ia satu ancaman mental bukan sahaja buat pemain tetapi juga buat pegawai dan atlet yang berlatih cukup panjang tanpa sebarang kejohanan yang ada.

"Bayangkan Piala Malaysia kini dibatalkan, ia memberi kesan kepada pemain (ketua jurulatih skuad kebangsaan) Tan cheng Hoe untuk memulakan latihan kerana negara lain sudah bermula," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen