Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, meletakkan kepercayaan tinggi terhadap penjaga gol muda, Ifwat Akmal Che Kassim, untuk aksi final Piala Malaysia menentang Selangor walaupun dipalit dengan kekecewaan tahun lalu.

Dalam aksi final tahun lalu, Kedah mempertaruhkan Firdaus Muhammad untuk mengemudi benteng terakhir bertemu Selangor.

Merupakan antara tonggak muda Kedah ketika itu, Firdaus -- cemerlang di peringkat terdahulu -- bagaimanapun gagal menyerap tekanan tinggi dalam aksi final.

Dia dibolosi dua gol dan kegugupannya terserlah apabila dilayangkan kad merah gara-gara menampan bola di luar kotak penalti.

Situasinya sama tahun ini apabila kudrat penjaga gol muda sekali lagi tampak menjadi pilihan Cheng Hoe untuk memburu kejuaraan kelima Piala Malaysia.

"Kami melihat Ifwat beraksi dengan konsisten pada pertengahan musim dan rata-rata penyokong memuji aksinya," kata Cheng Hoe. "Dia juga mempunyai tahap keyakinan yang baik."

Penjaga gol berusia 20 tahun dari Perlis itu mempamerkan aksi meyakinkan sejak mendapat tempat dalam kesebelasan utama ketika bertemu T-Team, Julai lalu.

"Jika dia diturunkan dalam perlawanan akhir untuk kali pertama, saya berharap dia tidak berasa gugup. Rakan-rakan sepasukan pastinya akan menyuntik keyakinan kepada dirinya," kata Cheng Hoe.

Mengetepikan rakan senior seperti Farhan Abu Bakar dan Abdul Hadi Hamid, Ifwat yang akan membuat penampilan sulung di pentas final, pernah dibolosi 10 gol daripada 18 perlawanan.

"Final tahun lalu saya selaku penonton, saya menyaksikan perlawanan tersebut," ujar Ifwat pula.

"Saya mahu memberikan aksi yang cemerlang untuk final dan membantu pasukan untuk menjulang Piala Malaysia," tambahnya.

Perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kedah dan Selangor akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Ia perhitungan final kedua buat kedua-dua pasukan, selepas perlawanan akhir tahun lalu dimenangi skuad Merah Kuning 2-0 di stadium yang sama.