Bekas pengendali sementara Johor Darul Ta'zim (JDT), Azmi Mohamed, muncul sebagai calon utama untuk menggalas tugas jurulatih baru Felda United, menggantikan tempat Irfan Bakti Abu Salim yang akan meleraikan ikatan secara rasmi bersama The Fighters, Isnin ini.

Nadi Arena sebelum ini melaporkan empat calon jurulatih sudah disenarai pendek oleh pengurusan Felda United.

Calon popular untuk menduduki 'kerusi panas' itu ialah bekas pengendali Selangor, Mehmet Durakovic yang sudah pun menyatakan kesediaannya untuk berkhidmat dengan skuad Felda.

Namun, ketika Durakovic dicanang sebagai pengganti paling tepat kepada Irfan, Azmi dan bekas pemain Perak, Ahmad Shahrul Azhar, pula dikatakan menjadi pilihan pengurusan kelab berkenaan.

Ditanya mengenai siapa calon paling layak, ini pandangan penganalisis bola sepak tempatan Asmawi Bakiri dan Hasnizam Uzir.

"Sepatutnya Felda United melantik jurulatih yang lebih baik daripada Irfan Bakti dan pada saya, antara calon disebut, Mehmet Durakovic merupakan individu paling layak," kata Asmawi.

"Pertamanya, dia seorang jurulatih asing dan memiliki pengalaman menjadi jurulatih dan pernah bermain bersama Selangor.

"Bukan menidakkan apa yang dimiliki Ahmad Shahrul dan Azmi tetapi pada 2017, mereka perlu menghadapi kejohanan besar, iaitu Piala AFC," jelasnya.

Turut menyuarakan persetujuan sama, bekas pemain kebangsaan dan personaliti Astro Arena, Hasnizam Uzir.

"Felda perlu bijak untuk memilih jurulatih yang berkarisma dan mempunyai nama besar seperti Mehmet Durakovic.

"Mehmet calon yang layak untuk menggalas cabaran bagi pasukan Felda. Pada saya, jika tersalah memilih pengganti, saya kira imej yang dibawa Irfan itu akan tercalar," katanya.

Irfan mengumumkan untuk meninggalkan skuad Felda selepas tamat aksi Liga Super menentang Sarawak di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 24 September lalu.

Tindakan Irfan itu susulan kegagalannya melunaskan misi pasukan meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Gambaran lebih jelas siapa pengendali The Fighters musim depan bakal terjawab selepas kelab itu mengadakan mesyuarat lembaga pengarahnya esok.