'Beto' mahu capai impian sejak kecil

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2018 236
'Beto' mahu capai impian sejak kecil
Jika dulu hanya menyaksikan final Piala Malaysia sebagai penyokong, kini pemain Perak, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri, berupaya menjulang trofi berprestij itu bersama pasukan negeri kelahirannya.

Dia yang lebih dikenali dengan nama panggilan ‘Beto’ berada dalam program bola sepak Perak sejak berusia sembilan tahun.

Antara kenangan yang tidak akan dilupakan adalah menyaksikan final edisi 2007 di mana Perak tewas di tangan Kedah.

"Sebelum ini, saya menyaksikan final Piala Malaysia 2007. Saya menonton di stadium sewaktu Perak tewas 3-0 di tangan Kedah ketika itu. 

"Jadi, saya sendiri ingin rasa suasana final. Memang rasa berdebar," ujarnya.

Kini, dia menjadi antara pemain kepercayaan pengendali skuad The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, dan lambang kebanggaan dalam kalangan penyokong Perak.

Seperti anak jati Perak sebelumnya yang pernah memenangi Piala Malaysia bersama negeri kelahiran, dia kini berpeluang untuk berada dalam kelompok itu dan merealisasikan impiannya sejak kecil.

"Bagi saya, ini satu penghormatan dan kebanggaan buat diri saya dapat beraksi di pentas final bersama Perak. Ia menjadi impian saya selama ini."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen