Tonggak utama Kedah, Baddrol Bakhtiar, bertekad menebus kehampaan tewas dalam aksi final Piala Malaysia tahun lalu untuk memastikan gelaran hatrik menjadi kenyataan tahun ini.

Baddrol bakal membuat kemunculan keempat dalam perlawanan akhir Piala Malaysia sejak 2007.

Meraih kejuaraan 'Double Treble' pada tahun 2007 dan 2008, dia bagaimanapun terlepas melengkapkan gelaran ketiga tahun lalu.

Ini susulan Kedah kecundang 0-2 di tangan Selangor dalam aksi final dan sememangnya Baddrol enggan 'pisang berbuah dua kali'.

“Jika kami bermain sebagai satu unit dan mengikut setiap perancangan jurulatih, kami mampu memenangi Piala Malaysia musim ini,” kata Baddrol.

Mampu beraksi di bahagian sayap dan tengah, pemain kebangsaan ini tidak asing lagi sebagai sandaran utama Lang Merah berdepan Selangor.

Selain mampu menjadi pencetus utama jaringan, Baddrol juga berkeupayaan meledak gol menerusi ketajaman penyudah dari jarak jauh.

“Saya akan menerima setiap arahan jurulatih untuk bermain di mana-mana posisi.”

Kedah dan Selangor pernah bertemu dalam dua final Piala Malaysia sebelum ini.

Pada 2008, Kedah menewaskan Selangor untuk menjulang kejuaraan buat kali keempat.

Manakala tahun lalu, Selangor mencipta kejuaraan ke-33 setelah menundukkan Kedah 2-0 hasil kedua-dua gol Hazwan Bakri di Stadium Shah Alam.