Alves, Rizal terlepas aksi final

Oleh Muzaffar Musa 27 Oktober 2019 12411
Alves, Rizal terlepas aksi final
Kedah perlu menelan hakikat bahawa mereka akan turun menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam final Piala Malaysia, Sabtu depan tanpa kelibat dua tonggak pertahanan, Renan Alves dan Rizal Ghazali.

Kedah melewati waktu termanis selepas mengikat Pahang 5-5 di Stadium Darul Makmur semalam untuk mara menerusi kelebihan gol di laman lawan selepas kedudukan agregat terikat 8-8.

Malang buat Alves, yang terlepas aksi final Piala FA, Julai lalu, apabila tidak akan beraksi dalam final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil gara-gara penggantungan perlawanan.

Turut tidak akan beraksi dalam perlawanan penutup musim itu adalah Rizal, yang sekali lagi dilayangkan kad kuning ketika menentang Pahang.

"Kehilangan Rizal dan Renan dalam final merupakan satu kehilangan yang besar.

"Saya yakin pengganti mereka dapat memberikan satu keajaiban lagi buat pasukan Kedah mendakap satu lagi piala," kata kapten skuad Lang Merah itu, Baddrol Bakhtiar.

Mengenai aksi 120 minit penuh getir di Kuantan, Baddrol menganggapnya sebagai kejayaan termanis sepanjang musim ini walaupun mereka perlu melepasi satu lagi halangan untuk menjulang trofi.

"Selama 14 tahun saya bermain untuk pasukan Kedah, perlawanan ini merupakan yang paling dramatik.

"Jika kami tidak layak ke final sekalipun, saya rasa penyokong kami sudah berpuas hati dengan permainan kami," tambahnya.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, menambah: "Secara keseluruhannya, saya tidak boleh memberikan pujian kepada seorang pemain kerana semua yang bermain dan dimasukkan dalam babak kedua sudah beraksi dengan amat baik.

"Saya perlu bersyukur dengan komitmen mereka.

"Apa yang penting adalah kami hanya selangkah lagi dalam perlawanan akhir," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen