Tonggak tengah Perak, Brendan Gan, menganggap penampilan dalam final Piala Malaysia sebagai pulangan berharga ketika dia hampir mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak.

Bersama Kelantan, Brendan dipaksa menelan realiti pahit apabila mengalami dua kecederaan serius -- kali pertama pada 2015 membabitkan lutut kanan dan kemudian September 2016 apabila lutut kirinya pula dihimpit kecederaan.

Kembali pulih, Brendan disuntik nafas baru apabila diberi peluang menyarung jersi The Bos Gaurus.

"Selepas mengalami kecederaan serius, saya mengambil keputusan yang tepat berhijrah ke Perak dan pengendali pasukan, Mehmet Durakovic, telah memberikan peluang kepada saya untuk beraksi," kata Brendan.

"Piala Malaysia sangat penting buat kami dan ia adalah cerminan musim yang diharungi Perak dan memenanginya adalah keutamaan pasukan."

Penampilan final dalam tangan, kini tiba waktu untuk menjulang Piala Malaysia bagi melengkapkan kebangkitan semulanya dalam kancah bola sepak.

"Mana-mana aksi final adalah sukar. TFC adalah pasukan yang berkualiti. Kami telah berdepan empat kali, Perak menang dua dan TFC menang dua. Bagi aksi final, sukar untuk menjangkakannya tetapi kami tetap akan berusaha untuk menampilkan persembahan berkualiti untuk mencipta kemenangan."