Pemangku jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, tidak mahu anak buahnya memandang rendah kemampuan lawan, Terengganu City FC (TCFC), dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Biarpun skuad kendalian Mohd Noor Derus itu beraksi dalam saingan Piala FAM, namun sikap terlalu yakin boleh mengundang padah kerana semua pasukan yang beraksi dalam Piala FA sentiasa mahu melakar kejutan.

“Saya tahu kemampuan pasukan dalam Liga FAM. Saya pernah kendalikan Felcra FC sebelum ini.

"Apabila bertemu lawan yang lebih baik (Liga Super atau Liga Perdana), pemain akan berusaha dua kali ganda untuk mencapai kemenangan. Tambahan pula, ada siaran langsung yang akan memberi lebih motivasi kepada pemain.

“Saya harap pemain Kelantan sentiasa fokus dan jangan sesekali memandang rendah kemampuan TCFC kerana sikap itu boleh mengundang padah,” katanya.

Yusri juga mahukan pemainnya memiliki mentaliti mahu menang selepas berjaya menumbangkan Perak 3-2 dalam aksi Liga Super, minggu lalu, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan.

“Selepas berjaya mencipta kemenangan pertama (kalahkan Perak), saya harap pemain terus mengekalkan semangat tersebut dalam semua aksi pertandingan selepas ini.

“Kami mahu mara sejauh mungkin dalam saingan Piala FA," katanya.

Ditanya mengenai kesebelasan utama yang bakal diturunkan malam ini, Yusri membayangkan akan melakukan sedikit rombakan bagi memantapkan pasukan.

“Saya akan menilai daripada aspek kecergasan pemain kerana mereka telah mengharungi tiga perlawanan dalam masa tujuh hari.

“Saya juga mahu memastikan benteng TRW kebal dan tidak mudah goyang kerana dalam aksi terakhir, kami melepaskan dua gol kepada lawan,” katanya.