Prestasi memberangsangkan dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia Jerman menghidupkan semangat jaguh negara, Azizulhasni Awang, untuk memburu dua pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dua slot yang diraih 'The Pocket Rocketman' menerusi acara keirin dan pecut membolehkan Malaysia bersaing dalam dua slot tambahan kedua-dua acara, sekali gus membuka laluan kepada Shah Firdaus Sahrom untuk membuat penampilan pertama dalam temasya di Jepun itu Julai depan.

Persoalannya, adakah Azizulhasni bakal membuat penampilan dalam kedua-dua acara ataupun sebaliknya.

"Sudah tentu saya akan fokus kepada kedua-dua acara kerana sememangnya ia sudah dirancang.

"Bukan sahaja layak, malah catatannya ada sinar.

"Sebelum ini fokus saya terarah kepada keirin tetapi catatan kedua-dua acara kali ini merupakan salah satu yang terbaik di dunia.

"Kami sudah selangkah ke depan jadi menuju lima bulan sebelum Sukan Olimpik, kami perlu selangkah lagi ke depan," katanya ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Nurul Syakirah Zulkifly, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.



Kejayaan jaguh berbasikal trek negara itu turut mencetus keterujaan Majlis Sukan Olimpik (MOM).

Mereka akan menyerahkan perancangan kepada Azizulhasni dan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) bagi memastikan dia ke Jepun dengan strategi yang mampu membawa pulang pingat emas.

"MOM bercadang mendapatkan maklumat mengenai perancangan PKBM termasuk pandangan Azizulhasni sendiri.

"Saya berasakan adalah penting untuk atlet mempunyai strategi menjelang Sukan Olimpik dan ia akan dibincangkan," kata Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, ketika diwawancara wawancara Nadi Arena, Shahrazad Sani.

Pelumba dari Terengganu itu sebelum ini unggul sebagai raja keirin Malaysia dan makin prolifik dalam acara pecut.