Isu pemain tempatan terpinggir dalam liga sendiri bukan perkara baru.

Saban tahun, perkara itu menjadi perbincangan ramai pihak dan kemuncaknya apabila kesan yang dirasai pasukan kebangsaan begitu ketara.

Pemain tempatan rasa terpinggir, peluang untuk mendapatkan minit bermain semakin berkurang dan penguasaan pemain import dalam mencetak jaringan musim ini jauh meninggalkan pemain tempatan.

"Masalah buat pemain tempatan bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama sekaligus memberikan kesukaran bagi beraksi dengan cemerlang ketika beraksi dalam skuad kebangsaan," kata kapten Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abdul Razak.

"Jalan penyelesaian bagi pemain tempatan untuk meraih tempat dalam skuad."

Ini bukan kritikan, tetapi luahan rasa pemain tempatan yang nampaknya terpaksa bekerja keras untuk meraih tempat sedangkan pihak pengurusan lebih percaya dengan magis yang mampu dilakukan pemain import.

Hasilnya mereka terus dipinggirkan dan kali ini selepas melewati lapan perlawanan, jarak yang ditinggalkan pemain import amat ketara.

Dalam saingan Liga Super, lapan penjaring teratas dikuasai pemain import manakala dalam saingan Liga Perdana, lima import menerajui kutipan jaringan musim ini.





Benar ia adalah cabaran yang besar perlu diatasi pemain tempatan namun, mentaliti yang dimiliki sesetengah pihak pengurusan banyak meletakkan pemain tempatan di kasta berbeza.

"Pemain tempatan dan import tidak memiliki terlalu banyak beza, sekadar kelebihan daripada sudut fizikal, kemahiran setiap pemain adalah hampir sama," kata pemain tengah Melaka United, S. Kumaahran.