Ketiadaan Da Sylva bukan kelebihan buat Terengganu -- Nafuzi

Oleh Muzaffar Musa 15 April 2021 3342
Ketiadaan Da Sylva bukan kelebihan buat Terengganu -- Nafuzi
Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain tidak menganggap ketiadaan bekas penyerang pasukannya, Dominique Da Sylva, bersama Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan Liga Super malam esok sebagai satu kelebihan.

Pengendali ini menegaskan kekuatan KL City tidak hanya tergalas di bahu Da Sylva memandangkan beberapa pemain lain seperti Hadin Azman, Indra Putra Mahayuddin dan pemain import lain seperti Paolo Josue dan Romel Morales, masih mampu memberikan bahaya buat pemain lawan.

"Kuala Lumpur bukan hanya tentang Dominique seorang sahaja. Kalau kita lihat, Paolo Josue, Romel dalam dua perlawanan terakhir ini, mereka menang tanpa Dominique," katanya kepada Nadi Arena.

"Secara keseluruhan, saya dapat lihat Kuala Lumpur beraksi secara berpasukan dan bukan bergantung kepada Dominique sahaja.

"Tanpa Dominique, mereka masih mendapatkan keputusan yang baik, jadi kami perlu berwaspada dan fokus.

"Mereka masih ada pemain seperti Hadin dan Indra yang mampu mengubah permainan, jadi kami perlu berwaspada," katanya.

Beraksi di laman sendiri, Nafuzi mahu anak buahnya memecah kebuntuan dalam mencetakkan tiga mata di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dengan rekod hanya satu kemenangan di tempat sendiri, Nafuzi berharap KL City akan menjadi mangsa terbaru mereka untuk menamatkan kemarau itu.

"Saya rasa pada ketika ini, tiada lagi kelebihan di laman sendiri buat Terengganu atau pasukan lain.

"Kerana jika dilihat, kami boleh mendapatkan keputusan yang baik di laman lawan dan bukannya di tempat sendiri.

"Kami sekadar seri dalam dua perlawanan terakhir di sini, jadi kami berharap dapat mencapai kembali kemenangan di tempat sendiri.

"Dengan kehadiran penonton buat kali pertama di sini, saya harap ia dapat memberikan kami semangat sejak dari minit pertama ," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen