KDA FC hilang khidmat Syazwan Tajudin

Oleh Muzaffar Musa 15 April 2021 7937
KDA FC hilang khidmat Syazwan Tajudin
Malang terus menimpa Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila kehilangan pertahanan tengah, Syazwan Tajudin, sehingga penghujung musim ini selepas pemain itu disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

Perkara itu disahkan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, sambil mendedahkan bahawa Syazwan ditimpa kecederaan itu ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 5 Mac lalu.

Kehilangan bekas pemain Harimau Muda itu sememangnya menambahkan kesukaran buat skuad Lang Merah itu memandangkan pertahanan import, Renan Alves, juga masih belum pulih daripada kecedaraan manakala Rodney Celvin Akwensivie pula digantung dua perlawanan.

"Saya fikir ia amat tidak bernasib baik kerana dia (Syazwan) melakukan dengan amat baik dalam pramusim," kata Aidil Sharin kepada Nadi Arena.

"Kerana itulah apabila Renan masih cedera ketika menentang JDT, dia mendapat peluang untuk diturunkan.

"Tetapi malangnya, ketika berdepan JDT, di mana dia melakukannya dengan amat baik untuk sekurang-kurangnya selama 65 minit, dia ditimpa kecederaan dalam perlawanan itu.

"Kami tidak dapat mengelakkannya. Ia sebahagian daripada bola sepak apabila pemain memberikan 100 peratus, kemudian terpaksa diketepikan untuk empat bulan," katanya.

Ia juga bermakna pengendali dari Singapura itu terpaksa merencana strategi berlainan dengan pilihan terhad di benteng pertahanannya menjelang perlawanan Liga Super menentang Perak di tempat lawan Sabtu ini.

"Selama latihan dua hari ini, kami sudah mencuba pemain lain di posisi itu.

"Sudah pasti kami akan mencari pemain terbaik untuk diturunkan menentang Perak.

"Seperti yang saya katakan, ia pasti bukan sesuatu yang mudah untuk mempersiapkan pasukan terbaik dalam tempoh tiga hari bagi bertemu Perak, bagi menghadapi pemain seperti (Guilherme) De Paula.

"Kami akan melakukan yang terbaik dan bersedia apa yang termampu untuk perlawanan Sabtu ini," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen