Gol Syahmi lengkapkan kebangkitan sempurna Selangor atasi Melaka

Oleh Muzaffar Musa 19 April 2021 3651
Gol Syahmi lengkapkan kebangkitan sempurna Selangor atasi Melaka
MELAKA UNITED 2 SELANGOR FC 3

Selangor FC bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali untuk menewaskan Melaka United 3-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Dua gol daripada Ifedayo Olusegun dan satu jaringan lewat permainan oleh pemain gantian, Syahmi Safari, memadamkan kelebihan Melaka yang dua kali berada di depan menerusi sepakan penalti Stefan Nikolic dan penyudah Syamim Yahya.

Melaka berada di depan dalam waktu kecederaan babak pertama selepas Nikolic menyempurnakan sepakan penalti susulan tindakan Jordan Ayimbila menjatuhkan S. Kumaahran.

Selangor kemudian menyamakan kedudukan selepas tujuh minit babak kedua bersambung apabila Ifedayo menolak masuk bola muntah susulan kegagalan penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat, menangkap kemas hantaran lintang Brendan Gan.

Bagaimanapun, kelegaan Selangor itu hanya bertahan selama tujuh minit. Kelekaan pertahanan pasukan Gergasi Merah itu mengawal Syamim mengundang padah apabila pemain sayap berkenaan mudah menanduk masuk bola sepakan sudut Kumaahran bagi memastikan Melaka kembali di depan.

Ifedayo terus memainkan watak penyelamat pasukannya hasil ketajamannya di depan gawang, kali ini dengan menanduk masuk hantaran lintang gemilang Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-70.

Skuad kendalian Karsten Neitzel itu memastikan pungutan tiga mata pada minit terakhir masa sebenar apabila Syahmi menghukum sikap sambil lewa pertahanan Melaka, Jang Suk-won, untuk melepaskan sepakan voli ke 'far post' yang menewaskan Kharul Fahmi buat kali ketiga.

Keputusan itu melonjakkan Selangor ke tangga kelima dengan 14 mata manakala Melaka pula berada di tangga kelapan dengan 10 mata.
 

ūüďä KEDUDUKAN LIGA SUPER - LS9 #LigaSuper2021

Posted by Malaysian Football League on Sunday, 18 April 2021

Keputusan lain
Liga Super: 
Petaling Jaya City FC 1-1 Penang FC

Liga Perdana:
Selangor II 1-1 Kuching City FC
Kelantan FC 1-2 Negeri Sembilan FC


*Kredit foto: Selangor FC

 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen