Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan tindakan terhadap dua pengadil akibat beberapa insiden Liga Malaysia (Liga-M) 2021 baru-baru ini.

Fairuzi Mat Desa digantung daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu dengan serta merta selepas didapati membuat kesilapan gagal mengesan tindakan pemain Petaling Jaya (PJ) City, Khairil Anuar Zamri, yang melakukan simulasi untuk mendapatkan sepakan penalti ketika bertemu Melaka United, Rabu lalu.

Khairil Anuar pula akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya yang sengaja melakukan simulasi.




Pemain Melaka, Alex Dos Santos, juga akan dirujuk ke jawatankuasa tatatertib ekoran tindakannya yang sengaja membaling bola ke arah pengadil dalam perlawanan sama.

Dalam insiden Kelantan FC bertemu Perak II dalam Liga Perdana pula, pengadil perlawanan, Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin, akan dirujuk kepada badan pengadilan FAM itu selepas didapati berada di kedudukan yang salah hingga ditolak secara agresif oleh penyerang Kelantan FC, Jack Hindle.

Hindle juga tidak terlepas atas tindakannya itu.