Pengurus Melaka United, Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengesahkan sudah membuat tawaran rasmi kepada bekas pemain sayap Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Zaquan Adha Abdul Radzak, untuk menyarung jersi skuad itu musim depan.

Melaka mencetuskan sensasi apabila dikhabarkan mahu mendapatkan khidmat Zaquan selepas berjaya melamar kapten skuad negara, Amri Yahyah.

Tidak menafikan perkhabaran itu, Yusoff ketika ditemui Nadi Arena kelmarin, menjelaskan, pihaknya sudah melakukan rundingan dengan pemain berusia 29 tahun itu baru-baru ini.

Yusoff, bagaimanapun, mengesahkan belum ada sebarang kata putus daripada pemain kebangsaan berkenaan, setakat ini.

"Pada dasarnya, dia nampak berminat untuk mewakili Melaka. Saya pun telah membuat tawaran kepadanya.

"Jadi, kini terpulang kepadanya untuk membuat keputusan sama ada ingin bersama Melaka ataupun pasukan lain kerana saya juga difahamkan dia turut menerima beberapa tawaran lain.

"Jadi, kami hanya boleh menawarkan tempat dan ia terpulang kepada pemain itu untuk menentukan masa depan mereka masing-masing. Saya fikir dengan adanya Zaquan, mungkin kami dapat memberi lebih pilihan kepada jurulatih kami untuk berhadapan dengan lawan-lawan yang tertentu," katanya.

Selain Zaquan, turut dikaitkan menyertai Melaka ialah pemain sayap Selangor, R. Gopinathan, selain beberapa pemain Kelantan yang kini berdepan kemungkinan pasukan mereka tidak beraksi musim depan.

Namun, Yusoff menjelaskan pihaknya tidak sewenangnya-wenangnya menandatangani kontrak mana-mana pemain walaupun mengakui skuad Melaka masih mempunyai beberapa kekosongan.

Melaka menjuarai Liga Perdana musim ini selepas meninggalkan pesaing terdekat, PKNS FC, dengan perbezaan dua mata.