Zahasmi pilihan tepat TRW -- Mahizi

Oleh Staff Writer 2 Disember 2016 1
Zahasmi pilihan tepat TRW -- Mahizi

Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) menyambut baik pelantikan ketua jurulatih Kelantan yang baharu, Zahasmi Ismail, dan berharap beliau dapat mengembalikan kegemilangan The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presidennya, Mahizi Mahmood, berkata pihaknya mengharapkan sentuhan magis Zahasmi yang cukup dikenali untuk membentuk semula pasukan TRW ekoran penghijrahan ramai pemain utama ke pasukan lain.

“Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) membuat keputusan yang tepat memilih anak tempatan untuk membentuk semula TRW menjadi pencabar utama dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

“Beliau (Zahasmi Ismail) bukanlah asing kepada peminat setia TRW dan kami percaya dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki, Kelantan mampu bangkit untuk memburu semula kejuaraan,” katanya.

Mahizi  juga menganggap pemilihan jurulatih tempatan membuktikan KAFA ‘mendengar’ apa yang dimahukan peminat dan yakin keputusan ini tidak silap kerana Zahasmi sudah membuktikan kehebatannya semasa menjadi ketua jurulatih sementara menggantikan Mohd Azraai Khor Abdullah yang meletak jawatan.

“Tentunya kejayaan Zahasmi membawa Kelantan keluar daripada zon penyingkiran dan kekal bersaing dalam Liga Super pada 2015 menjadi pencapaian terbaiknya untuk KAFA membuka mata dan seterusnya melantik beliau memimpin TRW,” katanya. 

Mahizi juga  berharap Zahasmi dapat mencontohi kehebatan jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe, yang mampu menjulang Kedah menjuarai Piala Malaysia tahun ini dengan aksi persembahan  pemain yang menarik.

“Tengok kehebatan Kedah  yang dibimbing jurulatih tempatan, Cheng Hoe, yang muncul antara pasukan terbaik Liga Super dan mampu menjulang Piala Malaysia baru-baru ini.

“Kita patut yakin dengan kebolehan jurulatih tempatan dan Zahasmi memang layak untuk diberi peluang memulihkan semula imej TRW yang tercalar,” katanya.



Tentang Penulis

Staff Writer

Komen