Antara rasa terkilan, sayang dan kestabilan, pilihan mana yang akan jadi keutamaan pengendali Kelantan, Yusri Che Lah, yang khidmatnya turut diintai Kuala Lumpur yang serius mahu mendapatkan khidmatnya musim depan.

Ura-ura melibatkan usaha Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang berminat untuk mendapatkan khidmat jurulatih import pada musim depan mencetuskan rasa terkilan pengendali tersebut.

Hakikatnya, rasa sayang Yusri buat Kelantan sudah mula berputik.

Apa tidaknya, dialah yang membina Kelantan daripada pasukan yang dilabel sebagai lubuk ubi muda tetapi kini kelibat beberapa pemain sudah mula menampakkan hasil.

"Perasaan saya masih berbelah-bahagi oleh kerana presiden sudah lama menghubungi saya.

"Khabar angin mengenai Kelantan akan mengambil jurulatih import kadang-kadang mematahkan hati saya.

"Kalau benar ia datang daripada pengurusan tertinggi KAFA, saya tidak menolak perkara tersebut," kata pengendali kelahiran Kangar, Perlis, itu.

Jika kestabilan yang menjadi pilihannya, Kuala Lumpur nampaknya serius untuk mendapatkan khidmatnya musim depan selain turut menawarkan jumlah gaji yang jauh lebih menarik.

Bagaimanapun, pengendali tersebut akan tetap mengutamakan hasil perbincangan dalam mesyuarat Isnin depan sebelum memuktamadkan keputusannya demi kelangsungan kariernya.

"Kami sudah melakukan perjumpaan dan saya tidak dapat lari daripada realiti.

"Kami ada mengadakan perbincangan tetapi tiada penekanan khusus sehinggalah kata putus dimuktamadkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KAFA, Isnin depan," tambahnya.