Windsor beri penjelasan tentang perpindahan Sumareh

Oleh Muzaffar Musa 10 September 2020 9486
Windsor beri penjelasan tentang perpindahan Sumareh
Isu membabitkan penyerang naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, terus hangat diperkatakan ketika pemain kelahiran Gambia itu masih belum mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) untuk beraksi dalam Liga Thailand. 

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), dikhabarkan, masih enggan mengeluarkan ITC dan masih bertegas bahawa bekas pemain mereka itu tetap bersalah dalam hal perpindahan berkenaan.

Sumareh menyertai pasukan Thailand, Police Tero FC, biarpun masih mempunyai baki kontrak selama setahun dengan Pahang.

Gaji tertunggak dikatakan menjadi punca utama pemain itu meninggalkan Tok Gajah pada pertengahan musim ini. 

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, semalam menjelaskan FAM tidak dapat meluluskan permohonan daripada Persatuan Bolasepak (FA) Thailand tetapi perpindahan itu masih lagi dibenarkan kerana campur tangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). 

Susulan itu, pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, menegaskan badan induk itu sudah bersedia mengheret kes berkenaan ke peringkat seterusnya selepas mendapatkan nasihat guaman.

Mengulas mengenai perdebatan itu, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John, menjelaskan mengenai situasi dan implikasi yang akan berlaku daripada saga perpindahan berkenaan.

"Kalau kita lihat kes ini dengan teliti, terdapat dua bahagian, yang pertama adalah isu ITC itu sendiri," katanya kepada pewarta Nadi Arena, Zulhelmi Zainal azam.

"ITC itu saya rasa diberikan dengan betul kerana ia temaktub dalam peraturan status ITC, satu cara pemberian ITC jika tidak ada persetujuan di antara kelab lama dan kelab baru.

"FIFA akan memberikan ITC sementara supaya pemain dapat bermain. Itu adalah prinsip ITC, pemain tidak boleh diberhentikan daripada bermain.

"Yang kedua adalah status (pemain). Status ini berkait dengan kontrak. Pemain itu milik siapa buat masa ini? Adakah masih milik Pahang atau sudah menjadi milik kelab baru?

"Oleh kerana Sumareh adalah pemain tempatan, statusnya akan ditentukan jabatan dalam FAM.

"Setahu saya, Sumareh tidak boleh membawa kes ini kepada FIFA kerana ia tiada kena-mengena dengan FIFA.

"Bahagian FIFA sudah selesai ketika mengeluarkan ITC (sementara).

"Status pemain pula (di bawah kuasa) FAM," katanya.

PBNP mendakwa Sumareh menghidupkan klausa 8.7 -- yang membenarkan pemain membatalkan kontrak bersama pasukan jika tidak mendapat gaji lebih daripada sekali -- ketika FAM sudah mengeluarkan kebenaran untuk memotong gaji pemain disebabkan pandemik COVID-19.

Perkara itu dikatakan sudah dipersetujui kedua-dua pihak dan mengulas mengenai perkara itu, Windsor menambah: "Kita harus melihat kepada tempoh selama mana perkara ini berlaku dalam kerjaya Sumareh di kelabnya.

"Mungkin ia bukan kali pertama, mungkin ia sudah berpanjangan. Kita perlu tahu maklumat terperinci barulah kita boleh memberikan pendapat mengenai siapa yang bersalah dalam hal ini.

"Pemain mempunyai kontrak untuk bermain dan kelab mempunyai tanggungjawab untuk membayar gaji. itu adalah perkara asas dan mereka telah menandatangani pesetujuan itu.

"Jadi, masing-masing mempunyai tanggungjawab tersendiri.

"Ia memerlukan tempoh yang lama untuk menentukannya kerana kita perlu mengambil kira segala surat-menyurat, sama ada pemain sudah memberikan notis menyenaraikan setiap perkara yang tidak diberikan kepadanya dan kerana itu dia mahu melakukan sesuatu.

"Kelab juga jika tidak bersetuju, mereka boleh memberikan notis untuk memberhentikan pemain dan sebagainya.

"Jadi, kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab dan ia sudah termaktub dalam kontrak pemain itu sendiri.

"Kita perlu melihat apa yang berada dalam kontrak itu. Itulah perkara paling penting.

"Kedua-dua pihak pasti tidak mahu mendedahklan maklumat ini kepada umum, jadi apa yang kita ketahui kini hanya sedikit.

"Apabila penyelidikan dibuat, mungkin oleh FAM, kedua-dua pihak perlu memberikan hujah mereka, sebab apa pihak lain bersalah. Pada waktu itulah kita akan mendapat tahu cerita sebenar," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen