Kekalahan besar 7-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) tempoh hari ingin dilupakan segera oleh Eric Williams selain mahu mengembalikan semula moral anak buahnya.

Dia sedar tugasnya sebagai ketua jurulatih makin goyah susulan rentetan kekalahan yang dialami dan untuk itu, perlawanan Liga Super berdepan Felda United, esok, harus berakhir dengan kemenangan bagi memulihkan kembali prestasi pasukannya.

Tegas Williams, dia lebih memikirkan aksi barisan anak buahnya berbanding kedudukannya sebagai jurulatih yang menjadi tanda tanya selepas ini.

"Ia bergantung kepada pemain yang boleh diturunkan.

"Jika ada masalah kecederaan, ia akan menjejaskan perancangan saya kerana kami tidak mempunyai skuad yang besar.

"Saya faham, saya bersedia berdepan dengan akibatnya," ujarnya.

Bakal melakukan rombakan dalam kesebelasan utama, Williams percaya anak buahnya akan menampilkan aksi lebih garang untuk menyekat kemaraan lawan di laman sendiri.

Meskipun The Fighters tewas kepada Pulau Pinang tempoh hari, keputusan berkenaan langsung tidak memberi apa-apa kelebihan buat Williams yang menganggap skuad kendalian B. Sathianathan itu masih perlu digeruni.

"Mereka perlu mengharungi Piala AFC dengan skuad yang tidak besar dan itu bukan masalah kami.

"Namun, mereka mempunyai pemain-pemain yang bagus."