Tatkala pencabar baru Liga Super 2020, UiTM FC, masih berteka-teki mengenai individu yang akan memimpin pasukan itu, bekas ketua jurulatih, Wan Mustaffa Wan Ismail, kembali ke pangkuan pasukan universiti berkenaan selepas setahun, kali ini sebagai pembantu jurulatih.

Wan Mustaffa tidak asing dengan The Lion Troops apabila pernah dua musim bersama pasukan itu sejak 2016 hingga 2018 dan menjadi antara watak penting dalam membantu pasukan itu layak ke Piala Malaysia buat julung kalinya.

Biarpun khidmatnya dipanggil semula ke UiTM hanya sebagai pembantu jurulatih, ia tidak menjadi masalah buatnya yang arif dengan barisan pemain institusi pengajian tinggi (IPT) itu.

Sungguhpun pihak pengurusan masih mahu merahsiakan kelibat ketua jurulatih yang akan memimpin pasukan itu musim depan, Wan Mustaffa tidak berasakan ia satu masalah untuk bekerjasama dengan jurulatih terbabit.

"Apabila saya kembali ke sini, pasukan ini sudah bermain dalam kancah yang berbeza.

"Mereka kini bermain dalam liga yang selama ini diimpikan ketika memulakan saingan dalam Liga Malaysia (Liga M)," katanya hari ini.

Sasaran UiTM FC musim depan adalah cuba sedaya-upaya untuk mengekalkan status mereka dalam kancah Liga Super dalam musim berikutnya.

Setakat ini, tiada nama-nama bintang yang dipancing oleh pasukan yang berpangkalan di Shah Alam itu, termasuk awang import, apabila mengekalkan keseluruhan pemain sedia ada.

"Pasukan ini biasanya akan mengutamakan tahap ketahanan yang lebih tinggi kerana kalau hendak bersaing dengan pengalaman, mereka sudah pasti akan tewas.

"Kami juga harus bersedia dengan fizikal yang mantap dan tahap ketahanan yang tinggi bagi memberi saingan kepada pasukan dalam Liga Super," katanya.