Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) seharusnya memiliki wakil dalam senarai exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan mengadakan kongresnya tidak lama lagi, kata Menteri Muda Perumahan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Tegasnya, penyertaan wakil Sarawak dalam badan induk bola sepak negara itu penting untuk menyuarakan masalah yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak, terutamanya berkaitan penyertaan dalam kejohanan seperti Piala Malaysia dan Liga Super.

“Jika melibatkan perlawanan yang ada timbal balik, kedua-dua negeri ini menderita bebanan kos yang tinggi setiap kali menghadiri perlawanan di tempat lawan.

“Ini berbeza dengan negeri-negeri di Semenanjung yang hanya menggunakan bas dan tidak perlu ditekan dengan kos yang melampau,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, hari ini.

Oleh itu, Karim berkata, wakil kedua-dua negeri ini perlu ada bagi membolehkan mereka memberi penjelasan akan isu-isu yang mungkin tidak dilihat oleh badan induk itu.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk FAM melihat subsidi yang sesuai, yang boleh diberikan kepada kedua-dua persatuan bola sepak negeri ini, bagi membolehkan mereka dibantu dalam menangani tekanan kos ini.

“Kedua-dua negeri ini perlu untuk terus bermain dalam kejohanan peringkat kebangsaan ini sekiranya kita mahu melihat bukan sahaja bakat mereka, tetapi penerapan semangat perpaduan ataupun integrasi dalam kejohanan-kejohanan tersebut."

Kongres FAM Ke-53 akan berlangsung pada Mac depan dan nama calon yang ingin bertanding perlu dihantar selewat-lewatnya 23 Januari depan, sebelum senarai akhir dikeluarkan pada 20 Februari. Semua jawatan akan dibuka untuk pemilihan yang baharu bagi sesi 2017-2021.

Ketika ini, Sarawak diwakili oleh bekas Presiden FAS, Datuk Sudarsono Osman, sebagai salah seorang naib presidennya.

Menurut Karim lagi, kerana beban kewangan itu jugalah, FAS kini berhadapan masalah untuk mencari nakhodanya.

FAS perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM15 juta hingga RM20 juta setahun untuk mengurus pasukan-pasukannya beraksi dalam liga kebangsaan.

Sementara itu, mengulas mengenai kekosongan jawatan presiden FAS, Karim seboleh-bolehnya tidak mahu mencampuri urusan persatuan tetapi menyedari ia semakin menjadi kebimbangan ramai.

Beliau tidak menolak untuk memanggil kepimpinan FAS sekarang bagi membincangkan masalah yang mereka alami.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Belia, Sukan dan Solidariti, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini.

“Sukan bola sepak adalah sukan nombor satu negeri ini dan kami tidak akan membiarkan ia berhadapan masalah seperti ini begitu lama.

“Malah, saya tidak tahu bagaimana mereka mentadbir pasukan negeri pada musim ini." tambahnya.