Status sebagai juara Liga Perdana bukan satu tiket untuk pendatang baru Liga Super 2021, Penang FC, untuk mendabik dada berdepan Kuala Lumpur City FC dalam pertemuan pertama di Stadium Bandaraya malam esok.

Dalam masa sama, pengendali skuad Harimau Kumbang itu, Tomas Trucha, turut berwaspada dengan taktikal rakan sejawatannya di Kuala Lumpur, Bojan Hodak, bagi mengelakkan aib di laman sendiri.

Sejak dilantik pada Disember lalu, Trucha berusaha membawa garapan baru buat skuad Penang FC sambil dibantu pengendali terdahulu, Manzoor Azwira.

Tiga aksi pramusim sebelum ini, di mana mereka menewaskan Kedah selain kalah kepada Perak dan Negeri Sembilan, memberikan ruang buat jurulatih dari Republik Czech itu untuk memperbaiki segenap aspek menjelang pembukaan saingan liga.

Skuad Pulau Mutiara itu akan mempertaruhkan ayam tambatan mereka, Cassagrande, yang muncul penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu dengan sembilan gol, dalam misi mengutip tiga mata pertama.

"Kami mempunyai waktu yang singkat untuk mengenali kesemua pemain, jadi tumpuan utama dalam aksi pramusim adalah memberikan peluang buat setiap pemain dan memilih pemain terbaik bagi perlawanan pertama," katanya kepada Nadi Arena.

"Saya percaya kami mempunyai pemain untuk beraksi di setiap posisi, di mana ia penting dalam jadual padat ini, di mana ada lima perlawanan dalam dua minggu.

"Jadi, saya fikir sudah dapat membayangkan kesebelasan utama saya tetapi ia bagus apabila pemain membuatkan saya pening untuk memilih yang terbaik.

"Tetapi saya percaya kami akan menemuinya dan beraksi baik," katanya.

Mengulas mengenai pasukan KL City, Trucha menambah: "Saya menghormati jurulatih mereka. Dia jurulatih yang sangat bagus.

"Saya perlu merendah diri kerana saya orang baru di sini."