Meninggalkan Johor Darul Ta'zim (JDT) II, bukanlah perkara yang mudah bagi mana-mana pemain tetapi buat penjaga gol kacukan Malaysia-England, Sam Somerville -- keputusan tersebut membuahkan hasil.

Tahun 2020 ibarat mimpi ngeri buat seluruh dunia. Dalam konteks bolasepak Malaysia pula, ia tahun yang melihat aksi liga terpaksa dipendekkan, Piala FA terpaksa dibatalkan dan format Piala Malaysia terus diubah secara drastik.

Tetapi di sebalik tahun yang cukup dramatik, penjaga gol Pulau Pinang, Samuel Somerville dikurniakan pelbagai detik manis. Berhijrah dari selatan ke utara tanah air, dia berjaya membantu Pulau Pinang memenangi Liga Perdana bulan lalu. Pada masa sama, dia juga menjadi bapa buat cahaya mata sulungnya Julai lalu.

Kejayaan membantu Pulau Pinang meraih gelaran juara, sekaligus melayakkan diri ke pentas Liga Super 2021 dilihat sebagai kejayaan peribadi terbaik kerana Sam akan berpeluang beraksi di pentas Liga Super secara konsisten buat kali pertama.

Sebelum ini, penjaga gol kelahiran England itu hanya menyarung jersi JDT II selama empat musim.

"Ia merupakan objektif pasukan untuk melangkah ke Liga Super musim hadapan. Kami telah menilai dengan sebaik mungkin dan berusaha untuk mencapainya kali ini," katanya lagi.

Majoriti penyokong Pulau Pinang jelas teruja dengan undian Piala Malaysia yang melihat Pulau Pinang mengelak pertemuan dengan majoriti pasukan gergasi.

Namun, Felda United akan menjadi cabaran sengit di peringkat awal dan Sam mahukan kemenangan demi menghidupkan peluang berdepan bekas pasukannya, Johor Darul Ta'zim di peringkat suku akhir.