Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberikan kelonggaran buat pengadil perlawanan daripada menjalani ujian calitan menjelang saingan Liga Malaysia yang akan bersambung hujung bulan depan.

"Tiada ujian calitan dilakukan kepada pengadil. Kami akan memastikan setiap pengadil berada dalam tahap kesihatan yang terbaik," kata Ketua pegawai eksekutif MFL, Datuk Ghani Hassan.

Difahamkan, setiap pengadil hanya diwajibkan menjalani ujian kesihatan biasa sahaja sebelum bermula saingan liga nanti berbanding ujian calitan Covid-19 hanya akan dilakukan ke atas semua pemain dan pegawai pasukan sahaja.



Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia, Dali Wahid, berkata, "Seramai 80 orang pengadil yang terlibat dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana akan menjalani ujian kesihatan."

Ketika pendemik Covid-19 belum berakhir sepenuhnya, keputusan ini terus menjadi tanda tanya.

Pengadil akan bersama dengan pemain ketika berada di atas padang memiliki risiko untuk bersentuhan ketika saingan sedang berlangsung.

Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, berpandangan, "Saya agak keliru dengan syarat-syarat ini, pengadil bukanlah 'Superman'. Tetapi mereka mungkin lebih arif dan memiliki penjelasan mengenai ujian calitan. Mungkin pengadil telah melalui ujian kesihatan yang berbeza.

"Jika pegawai dan pemain akan menjalani ujian tersebut, pengadil pula tidak melakukannya, memang saya tidak boleh percaya mengenai isu ini."

"Saya berpandangan lebih baik semua individu yang terlibat dalam perlawanan tertentu perlu menjalani ujian tersebut," ujar Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa.