Zahasmi Ismail bersyukur dengan pelantikannya sebagai ketua jurulatih baharu Kelantan tetapi dalam masa yang sama, akur ia amanah besar yang perlu dipikulnya dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pelantikan ini dan tentulah (ia) satu tanggungjawab yang besar ketika bola sepak Kelantan berdepan dengan pelbagai masalah.

“Namun, dengan darah (semangat) Kelantan yang ada dalam tubuh saya, Insya-Allah saya yakin mampu membentuk Kelantan menjadi sebuah pasukan yang mantap dan memberi saingan hebat dalam Liga Malaysia musim depan,” katanya.

Zahasmi juga melahirkan rasa kecewa apabila ramai pemain utama TRW berhijrah ke pasukan lain musim depan, namun berjanji akan mencari dan membentuk gandingan baharu secepat mungkin.

“Rasa terkilan dengan ketiadaan beberapa pemain utama yang mengambil keputusan untuk meninggalkan TRW.

"Kami terpaksa merelakan kerana rezeki mereka bersama pasukan lain. Insya-Allah dalam masa yang singkat, kami akan mencari gandingan lain bagi memantapkan pasukan,” katanya.

Ditanya mengapa beliau menolak tawaran lanjutan kontrak daripada bekas majikannya, Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) FC, Zahasmi menjelaskan sudah tiba masanya beliau kembali berbakti kepada negeri kelahirannya.

“Ini negeri saya. Inilah masa saya untuk berbakti kepada Kelantan dalam keadaan TRW agak bermasalah. Rezeki ada di mana-mana dan saya yakin mampu menyahut cabaran daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA),” katanya.

Untuk rekod, jurulatih berusia 49 tahun ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan apabila pernah menjadi penolong jurulatih kepada Norizan Bakar, B. Sathiananthan, Bojan Hodak dan Steve Darby.

Beliau juga pernah menjadi pengendali sementara skuad TRW pada pertengahan musim 2015 apabila Azraai Khor Abdullah meletakkan jawatan.