Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, mahu menjadikan perlawanan pra-musim di Bandung dan Jakarta sebagai medan meningkatkan keserasian serta membolehkan pemain kembali ke tahap kecergasan terbaik.

“Kami akan berangkat ke Bandung, Sabtu ini, untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Perdana Indonesia serta satu aksi bertemu pasukan universiti di Jakarta.

“Bukan kemenangan yang dicari kerana perhatian yang lebih akan diberikan dalam aspek kecergasan, fizikal serta rentak permainan yang diingini,” ujar Rahmad.

Ketua jurulatih berusia 50 tahun itu mengakui pasukannya telah mengenal pasti calon pemain-pemain import meskipun masih tiada keputusan dibuat berhubung senarai pemain 2017.

“Tiga perlawanan ujian ini akan memberi peluang kepada saya untuk menilai pemain-pemain import baharu.

“Selepas pulang dari Uzbekistan, minggu lalu, saya telah memaklumkan kepada pihak pengurusan calon-calon pemain import dan semuanya bergantung jika pemain itu bersetuju dengan terma dan kontrak yang ditawarkan.

“Situasinya juga sama dengan pemain-pemain tempatan, saya mahu mereka kekal tapi gagal mencapai persetujuan kerana kami harus mengikut bajet pasukan.

“Status mereka belum diputuskan walaupun kami turut berhasrat untuk mengekalkan mereka. Keputusan terletak kepada perbincangan di antara pemain dan pihak pengurusan,” tambahnya.