Syarikat telekomunikasi, redONE Network Sdn Bhd, menjadi pihak pertama tampil menaja pasukan Liga Super, Terengganu FC (TFC), bagi menghadapi saingan musim 2020.

Tanpa mahu mendedahkan jumlahnya, Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus, turut mengesahkan tajaan itu adalah yang terbesar sepanjang penglibatan syaikat itu sebagai penaja.

Selain wang tunai, redONE juga akan melaksanakan skim keusahawanan sebagai antara inisiatif mengembangkan pasaran di negeri itu.

Langkah itu juga, katanya, merupakan kali pertama dilakukan bagi memastikan kejayaan dapat dicapai di dalam serta di luar padang.

"Sebelum ini, redONE pernah menaja pasukan lain, namun usahasama bersama TFC adalah yang paling banyak pernah kami taja.

"Pelbagai program akan dibuat dan sebagai rakan penaja, redONE sudah pasti mahu mencapai kejayaan bersama TFC," jelas Farid yang memeterai perjanjian penajaan, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Pemasaran redONE, Ben Teh, serta Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.

"Kami sedang berunding mendapatkan tajaan daripada beberapa pihak lagi dan diharap dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Kehadiran redONE sebagai rakan penaja diyakini mampu meningkat dan merancakkan sokongan peminat pasukan TFC," kata Hishamuddin.