TERENGGANU FC II 2 PERAK II 0

Satu gol dalam setiap babak membantu Terengganu FC (TFC) II meraih kemenangan kedua dalam saingan Liga Perdana dengan mengalahkan Perak II 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.


Pemain tengah, Zuasyraf Zulkiefle, paling mencuri tumpuan selepas rembatannya dari jarak 30 meter menerjah jaring untuk gol kedua TFC II, empat minit sebelum wisel penamat.

Jaringan itu juga dihasilkan ketika Perak II lebih mendominasi permainan untuk memburu gol penyamaan setelah ketinggalan menerusi gol Bruno Suzuki dalam babak pertama.

Perak II yang memulakan perlawanan terlebih dahulu menguji tuan rumah melalui rembatan Bruno Berezza (m-14) sebelum tindakan susulan Yusof Abdullah ditepis penjaga gol.

TFC II kemudian mula mengatur langkah dan berpunca sepakan sudut pada minit ke-16, pemain tengah, Marcel N'Guessan, menanduk tinggi peluang pertama tuan rumah.

Peluang terbaik TFC II terhidang selepas hantaran Bruno disudahkan Engku Nur Shakir Engku Yacob, malangnya ditepis Shafiq Afifi Suhaimi pada minit ke-20.

Memasuki minit ke-25, tuan rumah diceriakan gol pembukaan menerusi Suzuki yang mudah menyambar hantaran leret Dhiyaulrahman Hasri dari sebelah kiri.

Babak pertama disudahi dengan peluang Perak II untuk mengikat kedudukan digagalkan Mohd Suhaimi Husin yang menepis percubaan luar kotak Bezerra pada minit ke-36.

Jurulatih, Abu Bakar Fadzim, melakukan tiga pertukaran selepas rehat dan percaturan itu hampir membuahkan hasil buat Perak II yang semakin bernafsu mengasak kubu lawan.

Bermula percubaan leret S. Pavithran pada minit ke-51 disusuli tandukan Yusof pada minit ke-64, pintu gol TFC II bagaikan hanya menanti masa untuk bocor.

Bek tengah TFC II, Aqil Irfanuddin Sabri, seterusnya cemerlang mengeluarkan bola di atas garisan gol selepas tandukan Nur Iqmal Tumin menewaskan Suhaimi (m-68).

Zuasyraf membunuh perjuangan Perak II dengan gol kedua tuan rumah sekali gus menjadikan tambahan masa tiga minit sekadar sia-sia untuk kem pelawat.

Sementara itu, dua aksi Liga Super menyaksikan tuan rumah, PJ City dan Melaka, mencipta kemenangan.

PJ City meleburkan hasrat Pahang di Stadium UiTM, Shah Alam, apabila sepakan percuma R. Kogileswaran pada masa kecederaan membawa kemenangan 3-2.

Melaka pula meneruskan rentak kemenangan 3-1 ke atas PDRM di Stadium Hang Jebat yang menyaksikan Uche Agba terlebih dahulu memecah kebuntuan dalam separuh masa pertama.

Tiga gol lagi terhasil ketika menuju 20 minit terakhir permainan yang dimulai penyudah daripada Safiq Rahim.

Namun, PDRM mengurangkan defisit gol sebelum Melaka mengesahkan kemenangan mutlak menerusi sentuhan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman pada masa kecederaan.