Terengganu, Selangor sama kuat

Oleh Tengku Danish Bahri   11 Mac 2020 2485
Terengganu, Selangor sama kuat
TERENGGANU FC 3 SELANGOR 3

Jaringan penalti Lee Tuck dalam masa kecederaan menyelamatkan maruah Terengganu FC (TFC) di tempat sendiri untuk seri 3-3 dengan Selangor, sebentar tadi.

Selain enam jaringan terhasil, satu layangan kad merah turut mencemari aksi penuh dramatik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu.

Awal permainan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selepas insiden kad kuning Regan Taylor yang menghantuk Dominique Da Sylva.

Da Sylva memiliki dua peluang terbaik bermula percubaan jarak dekat pada minit kesembilan disusuli rembatan liar di depan pintu gol ketika Khairul Azhan Khalid (m-19) sudah tertewas.

Selangor kemudian membalas menerusi tandukan lemah Safuwan Baharuddin serta sepakan deras bek kanan, Syahmi Safari, yang menggegar jaring tepi pada minit ke-23.

Aksi semakin sengit ketika sepuluh minit menuju rehat dengan TFC meningkatkan tekanan melalui percubaan Da Sylva yang dikeluarkan Taylor di atas garisan gol.

Giliran Selangor menguji penjaga gol TFC melalui sepakan bebas Sandro Da Silva yang ditumbuk keluar Ilham Amirullah Razali untuk sepakan sudut pada minit ke-38.

Sandro yang mengambil sepakan sudut itu berjaya menemui Safuwan sebelum Ifedayo Olusegun yang tidak dikawal mudah menanduk masuk gol pertama perlawanan.

Kedudukan itu tidak kekal lama selepas Rahmat Makasuf berjaya melepasi perangkap ofsaid dan menyambar hantaran Faris Ramli dan menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-42.

Hanya empat minit bersambung babak kedua, Selangor mengejutkan tuan rumah hasil jaringan mudah Khyril Muhymeen yang menerima umpanan Syazwan Zainon.

Tersentak dengan gol itu, TFC menyamakan kedudukan pada minit ke-63 melalui sepakan kencang Sanjar Shaakhmedov hasil gerakan Da Silva.

Kesilapan penjaga gol TFC, Ilham, yang gagal menangkap kemas tandukan Ifedayo dihukum Brendan Gan untuk memastikan Selangor mendahului buat kali ketiga pada minit ke-69.

Pemain tengah TFC, Azalinullah Alias (m-79), kemudian diarah keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua kerana menbentes Rufino Segovia.

Tuck, begitupun menceriakan lebih 17,000 penyokong tuan rumah selepas menyudahkan sepakan penalti susulan kekasaran ke atas Faris di dalam kotak penalti.

Keputusan lain:

Liga Super

FELDA UNITED 3 MELAKA 2

PERAK 2 PJ CITY 0

UITM 1 KEDAH 1

Liga Perdana

JDT II 1 KUALA LUMPUR 1

SELANGOR II 1 SARAWAK UNITED 0

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri  

Komen