Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mendakwa Mohamadou Sumareh, tidak mengenang budi apabila meninggalkan pasukan itu tanpa khabar berita sejak bulan lalu.

Sumareh masih mempunyai baki kontrak hingga 2022 sekali gus memaksa PBNP bersidang dalam masa terdekat untuk menentukan status penyerang itu.

Badan induk itu akur jika Sumareh mahu meninggalkan pasukan namun ia perlu dilakukan secara rundingan.

Jadi, PNBP akan bersidang dalam masa terdekat untuk buat keputusan mengenai status sumareh yang belum menjaringkan sebarang gol musim ini.

"Secara teknikalnya, dia masih lagi pemain Pahang. Buat masa ini, segalanya terletak kepada Sumareh untuk mengambil tindakan selanjutnya. Tetapi kami akan mengambil tindakan atas tidak menghadiri latihan bersama pasukan," kata Pengurus PBNP, Datuk Mohammed Suffian Awang.

Musim ini, Pahang kehilangan khidmat Matthew Davies yang menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pertahanan itu mempunyai baki kontrak setahun namun JDT menebusnya dengan nilai RM3.8 juta.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) antara pasukan yang membuka pintu untuk rundingan mendapatkan khidmat Sumareh.

"Kami akan berbincang terlebih dahulu namun saya tidak boleh menidakkan Selangor tidak mahukan Sumareh. Kami akan melihat struktur kewangan pasukan terlebih dahulu sebelum membincangkan mengenai kontraknya," kata Timbalan Presiden FAS, Shahril.