Pengendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan jadual perlawanan bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpurbulan depan lebih baik berbanding pengalamannya sebelum ini, sekaligus mahu pemain memanfaatkan segala kelebihan dalam menggapai pingat emas dalam temasya itu nanti.

Jadual rasmi acara bola sepak KL2017 yang dikeluarkan semalam menyaksikan skuad muda negara akan memulakan cabaran menentang Brunei, 14 Ogos depan.

Ia disusuli pertemuan menentang Singapura, dua hari kemudian, diikuti Myanmar pada 21 Ogos sebelum berentap dengan Laos bagi aksi terakhir Kumpulan A pada 23 Ogos.

Berdasarkan jadual itu, skuad negara tampak mula berdepan aksi getir dalam perlawanan ketiga bertemu Myanmar selaku finalis edisi lalu.

"Kami harus mengatur beberapa latihan mengikut keperluan kemampuan setiap lawan.

"Kami tidak boleh mengambil mudah walaupun jadual perlawanan kali ini adalah lebih baik berbanding yang pernah kami lalui sebelum ini," ujarnya.

Skuad muda negara mempunyai tonik terbaik untuk menghadapi KL2017 selepas berjaya mara ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Menurut Kim Swee, senarai akhir skuad Sukan SEA akan diputuskan minggu depan sebelum mereka yang terpilih menjalani latihan pusat bermula 6 Ogos ini.

"Pemain akan dikumpulkan semula pada 6 Ogos, sehari selepas mereka memenuhi jadual liga.

"Kami mempunyai persiapan yang lebih baik berbanding kelayakan Kejohanan AFC B-23, tempoh hari.

"Saya berharap pemain berada dalam keadaan yang cukup baik."