Kapten Felda United, Shukor Adan, mengakui perlu mengekalkan disiplin yang tinggi dalam sesi latihan bagi memastikan prestasinya berada di tahap terbaik tatkala bakal mencecah usia 38 tahun, tahun depan.

Shukor bakal mencipta sejarah tersendiri apabila tampil selaku pemain paling berusia dalam kancah Liga Malaysia bagi musim 2017.

Anak jati Melaka ini sudah pasti berdepan cabaran berbeza untuk mengekalkan prestasi terbaiknya, apatah lagi skuad Felda akan beraksi dalam Piala AFC.

Shukor sedar komitmen tinggi past dituntut daripadanya untuk terus bersaing merebut tempat sekalipun kepimpinannya tetap ditagih The Fighters.

"Musim depan, kalau tidak silap, saya akan menjadi pemain paling senior pada usia 38 tahun. Jika Hairuddin (Omar) beraksi lagi, kami sama-sama akan tampil selaku pemain paling berusia.

"Pada usia ini, sangat mudah untuk mengalami kecederaan, jadi saya rasa pentingnya untuk kekal berdisiplin ketika sesi latihan untuk beraksi," jelas Shukor.

Shukor baru menyertai latihan skuad Felda minggu ini selepas diberi pelepasan menyertai Kursus Kejurulatihan Lesen C minggu lalu.

Pada masa sama, Shukor mengakui telah bersedia untuk berkhidmat di bawah kendalian jurulatih baru, Azmi Mohamed, bagi menghadapi cabaran musim 2017.

"Apa yang saya lihat, rentak latihan dan permainan memang amat tinggi bagi menghadapi Piala AFC. Ini kerana kami ibarat mewakili negara dalam kejohanan itu."