Shahrom lega tunggakan gaji mula diterima

Oleh Penulis Jemputan 23 Disember 2018 4709
Shahrom lega tunggakan gaji mula diterima
Tunggakan gaji bekas kapten Felcra FC, Shahrom Kalam, berbaki hanya sebulan lagi selepas pihak pengurusan The Rivals selesai melunaskan tunggakan tiga bulan sebelumnya.

Shahrom menerima tunggakan tiga bulan gajinya bulan lalu, namun masih melakukan rundingan dengan pihak pengurusan skuad The Rivals itu bagi menuntut baki sebulan lagi.

Bagaimanapun, dia lega selepas pihak pengurusan pasukan itu akhirnya menunjukkan usaha bagi melunaskan tunggakan gaji kepada pemain dan pegawai yang dianggarkan berjumlah hampir RM2 juta.

Shahrom, yang baru mengikat kontrak bersama PKNS FC, ditemui dalam perlawanan persahabatan di antara The Red Ants dan PDRM FA yang berlangsung di Padang PKNS, Kelana Jaya malam tadi. Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu membenam The Cops 1-0 menerusi jaringan Jafri Firdaus Chew.

"Alhamdulillah, gaji kami untuk tempoh September sehingga November telah selesai tetapi untuk Disember, ia masih dalam proses rundingan," kata Shahrom.

Sementara itu, jurulatih PDRM, Fauzi Pilus, menjelaskan pihak pengurusan The Cops sedang bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian bagi melunaskan tunggakan gaji pemain secepat mungkin.

Walaupun gaji belum dibayar, barisan pemain meletakkan kepercayaan dan masih yakin bahawa pihak pengurusan mampu mengatasi masalah itu dengan segera.

"Itu tidak boleh dijelaskan secara terperinci ketika ini kerana ia melibatkan pihak pengurusan, penaja dan sebagainya. Pihak pengurusan lebih sesuai untuk menerangkan perkara ini kerana saya di barisan kejurulatihan lebih fokus untuk perkembangan pemain," ujar Fauzi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen