Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, tidak menolak kemungkinan pertahanan kebangsaan, Shahrom Kalam, akan kembali ke pangkuan skuad warga kota untuk menghadapi musim baru Liga Super.

Menurut Nokman, pada ketika ini perbincangan dengan Shahrom masih dalam peringkat awal.

Namun, beliau mengakui pemain itu sudah menyuarakan minat untuk kembali ke Kuala Lumpur dan optimis kedua-dua pihak akan mencapai kata sepakat tidak lama lagi.

"Saya lebih suka pemain-pemain Kuala Lumpur yang dulu setia bersama kami, termasuk Shahrom.

"Kami juga ada perancangan untuk membawa masuk pemain-pemain lain tetapi jika Shahrom bersetuju untuk ke Kuala Lumpur, kami menerima dengan baik.

"Segala-galanya bergantung kepada persetujuan mengenai gaji, sama ada dia boleh terima tawaran daripada kami atau tidak kerana pihak KLFA mempunyai had gaji yang ditetapkan.

"Untuk mengelakkan sebarang isu pada masa akan datang, seelok-eloknya kami berbincang terlebih dahulu," katanya.

Tambah Nokman, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, turut mahu melihat Shahrom dapat menguatkan benteng Kuala Lumpur bagi musim depan.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan KLFA turut berbincang dengan bekas pemain tengah Kelantan, Brendan Gan.

Tetapi KLFA masih gagal mencapai kata sepakat dengan pemain kelahiran Australia itu.

"Kami juga ada menawarkan Brendan untuk bersama Kuala Lumpur tetapi tawaran itu agak rendah berbanding apa yang diharapkannya.

"Bagi saya, Brendan seharusnya menerima tawaran dan tidak memikirkan soal wang kerana dia baru pulih daripada kecederaan," tambahnya.