Shahrel Fikri mungkin ke JDT

Oleh Penulis Jemputan 28 Disember 2017 12076
Shahrel Fikri mungkin ke JDT
Kapten dan penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri Md Fauzi, mengesahkan akan meninggalkan kelab dari Perak itu untuk mengharungi Liga Malaysia musim depan.

Pemain kelahiran Sitiawan, Perak itu adalah antara pemain PKNP yang menyinar dalam Liga Perdana musim ini dan penampilannya menarik perhatian beberapa pasukan.

Juara Liga Super dan Piala Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), adalah pasukan yang dikaitkan dengan pemain itu untuk saingan musim depan.

"Apa yang ditawarkan oleh pasukan baru, saya berminat. Ia untuk menimba ilmu di sana. Saya bersama PKNP dalam Liga FAM dan ini tahun ketiga saya di sini. 

"Sudah tiba masanya untuk saya mendapat pengalaman dengan jurulatih-jurulatih lain," ujarnya.

Perak dan Kuala Lumpur juga adalah antara pasukan yang turut menunjukkan minat terhadap pemain berusia 23 tahun itu.

Sekalipun enggan mengesahkan pasukan yang bakal disertainya, Shahrel tidak menafikan minatnya jika berpeluang ke JDT.

"Saya memang berminat untuk ke sana (JDT), dengan apa yang mereka tawarkan untuk saya. Saya mahukan suasana baru, persaingan sihat dan cabaran baru," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen