Nidzam Jamil sedia memikul tanggungjawab sebagai ketua jurulatih dengan kebarangkalian Felda United di ambang penyingkiran ke Liga Perdana.

The Fighters memerlukan keajaiban untuk kekal dalam saingan Liga Super susulan kekalahan 3-0 di tangan Terengganu semalam.

Khabar angin juga bertiup kencang pasukan itu dilanda polemik belakang tabir membabitkan peralihan kuasa pengurusan.

"Saya tidak memiliki hak untuk memberikan ulasan di luar bidang saya. Saya percaya setiap organisasi akan ada perubahan," kata Nidzam.

"Saya masih lagi berbaki setahun dalam kontrak saya, jika kami gagal dalam 11 perlawanan ini, saya bertanggungjawab sepenuhnya kerana kuasa penuh telah diberikan kepada saya."

Untuk kekal dalam Liga Super, Felda sudah pasti mengharapkan Sabah untuk tewas pertemuan terakhir mereka menentang UiTM.

Bagaimanapun, skuad kendalian Nidzam itu juga perlu memastikan mereka tidak berputih mata apabila mencongak perhitungan dengan Selangor 10 Oktober ini.

"Seperti tahun lalu, kami perlu mengatasi Kedah dengan beberapa jaringan sementara PKNP perlu tewas. Saya berasakan ia tidak mungkin akan berlaku sekali lagi namun tiada siapa yang mengetahui apa akan berlaku," kata Nidzam.

Aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang menyaksikan Terengganu bijak memanfaatkan aksi cemerlang dipamerkan oleh kudrat import, Lee Tuck.