Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, kecewa dengan persembahan anak buahnya ketika seri 1-1 dengan PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, semalam.

"Kami tidak bermain mengikut kemampuan. Inilah masalah bila pemain tidak turun dengan mentaliti betul.

" Saya sudah ingatkan pemain supaya tidak pandang mudah perlawanan ini.

"Bagaimanapun, ternyata nasihat saya tidak diendahkan.

" Inilah masalah Selangor. Bila bermain dengan lawan kuat, mereka beraksi bagaikan juara tetapi bertemu pasukan di posisi bawah, mereka beraksi longgar dan hambar, " kata Sathianathan.

Jurulatih itu sebaliknya memuji pemain tuan rumah yang berjuang dengan bersemangat sepanjang perlawanan.

"Tahniah kepada PKNP kerana berjaya memberi saingan dan cabaran kepada anak buah saya. Mereka tidak berhenti bermain walaupun untuk seminit," ujarnya.

Sathianathan mengakui amat kecewa dengan persembahan Selangor yang sepatutnya mampu membawa pulang mata penuh.

"Kami jaring satu gol pada babak pertama tetapi selepas itu pemain bermain sambil lewa.

"Separuh masa kedua, kami langsung tidak membuat sebarang percubaan ke arah gol PKNP.

"Sepakan percuma dan sudut langsung tidak menimbulkan ancaman kepada lawan. Macam beri bola balik kepada mereka.

"Alasan berpuasa tidak boleh dijadikan penyebab. PKNP FC cuma ada tiga pemain bukan Islam tetapi kenapa mereka boleh beraksi cemerlang," katanya.