Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, menyalahkan anak buahnya kerana dua perkara hingga menyebabkan mereka tumpas 3-2 kepada Perak, malam tadi.

"Pemain Selangor melakukan dua kesilapan, iaitu tidak bermain dengan baik, terutama dalam separuh pertama.

"Separuh kedua barulah mereka mempamerkan aksi biasa tetapi Perak berjaya menjaringkan gol gara-gara kesilapan kami.

"Perkara kedua ialah semasa sepakan penalti, tiada seorangpun pemain Selangor mengawal keadaan, menyebabkan penendang (Leandro Dos Santos) mudah menjaringkan bola yang melantun dari tiang.

"Semua tengok sahaja. Jika mengawal keadaan, mungkin ia boleh dihalang," katanya selepas perlawanan di Stadium Perak itu.

Dalam perlawanan itu, Selangor mendahului dua kali tetapi setiap kali kelebihan itu berjaya dipadamkan tuan rumah.

Walaupun anak buahnya mula mendapat momentum serta mengenakan tekanan dalam babak kedua, Perak menghukum kesilapan mereka.

Bagaimanapun, Sathianathan berkata dia tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana terpaksa membariskan barisan tempang gara-gara kecederaan ramai pemain.

"Saya terpaksa merombak barisan untuk mengimbangi pasukan.

"Malah untuk perlawanan akan datang (PJ City), kami lebih teruk lagi, " ujarnya.

Kekalahan itu sekali gus merencatkan peluang Gergasi Merah itu untuk menduduki kedudukan ketiga Liga Super 2019.

Sebaliknya, Selangor kini menduduki tangga kelima dengan mengutip 31 mata.

Jurulatih itu, bagaimanapun, belum menyerah kalah dalam usaha menempatkan pasukan itu dalam kelompok tiga teratas.