Pengendali Selangor, B. Sathianathan, tidak mahu mengambil langkah terburu-buru dalam menentukan siapa tonggak import yang bakal memperkuatkan pasukan itu bagi menghadapi musim 2019.

Selepas mengikat beberapa pemain tempatan berpengalaman, Selangor kini mula memberi tumpuan
mencari khidmat import bersesuaian.

Sathianathan menjelaskan setakat ini skuad Gergasi Merah hanya sah mengekalkan khidmat
penyerang, Rufino Segovia, yang muncul penjaring terbanyak Liga Super musim 2018 dengan 19 gol.

Sesi latihan Selangor hari ini menyaksikan kelibat beberapa pemain luar negara sedang mencuba nasib
untuk mendapatkan tempat dalam pasukan.

Walaupun tidak menafikan pemain itu mempunyai kualiti tersendiri, Sathianathan lebih mengutamakan
keserasian mereka bersama pasukan.

"Bagaimana mereka boleh bermain dengan pasukan ini, itu yang penting. Saya masih ingat Tony Cottee heboh diperkatakan apabila menyertai Selangor tetapi akhirnya tidak menjaringkan gol. Sebaliknya, apabila pulang ke England, dia muncul penjaring terbanyak.

"Jadi, tidak semestinya pemain yang bagus boleh mendapatkan kesinambungan dalam pasukan dengan mudah. Kami perlu tahu mungkin mereka bagus dengan pemain mereka," kata Sathianathan.

Skuad Selangor bakal mengadakan beberapa aksi persahabatan bermula hujung bulan ini, antaranya
menentang PKNP FC dan Kuala Lumpur.

Selain itu, mereka turut merancang untuk meneruskan persiapan pramusim di luar negara dengan
Thailand atau Indonesia menjadi lokasi utama tatkala Sathianathan menegaskan keputusan
perlawanan tidak menjadi keutamaan, sebaliknya mutu permainan perlu ditingkatkan.

"Saya tidak mengharapkan keputusan kerana saya tahu ketika ini pemain tidak segar kerana menjalani latihan kecergasan. Apabila latihan kecergasan dibuat dengan betul, pemain tidak beraksi seperti biasa," ujarnya.