Pemain sayap, D. Saarvindran, yakin Terengganu FC (TFC) boleh menempatkan diri sebagai dua pasukan terbaik dalam baki saingan Liga Super musim ini.

Sasaran itu diletakkannya selepas melihat kemampuan TFC memberikan saingan dalam tiga aksi pertama sebelum kancah liga tempatan dihentikan Mac lalu.

Menurut Saarvindran, kelebihan satu perlawanan berbanding pasukan lain juga menambah sedikit keyakinan TFC untuk mengutip mata maksimum.

"Kami tewas kepada Perak tapi itu cuma aksi pembukaan sebelum mengalahkan Kedah di tempat lawan dan kemudian bangkit mengikat Selangor 3-3.

"Prestasi kami dalam tiga pertemuan itu tidak kurang hebatnya dan saya percaya jika dapat kekalkan momentum itu, TFC boleh dapat kedudukan dua teratas," katanya.

Saarvindran, yang juga bekas tonggak Johor Darul Ta'zim II (JDT II) berkata, dia turut bersedia merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan di bawah kendalian Mohd Nafuzi Zain itu.

Memulakan tiga perlawanan pertama dari bangku simpanan, pemain lincah itu jelas tidak sabar memanfaatkan latihan yang bermula Isnin lalu untuk kembali mendapatkan rentak terbaik.

"Sebelum ini memang ada latihan sendiri di rumah selain aktiviti berbasikal dan joging tapi itu tidak cukup.

"Sekarang dah boleh berlatih di padang. Jadi saya akan cuba tingkatkan tahap kecergasan dan mahu membantu TFC sebaik liga bersambung semula," tambahnya.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)