Roslee kecewa Felcra tarik diri

Oleh Staff Writer 16 November 2018 1858
Roslee kecewa Felcra tarik diri
Felcra FC secara rasmi menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan selepas tidak membuat sebarang pengesahan penyertaan kepada Malaysia Football League (MFL) selepas tarikh tutup, semalam.

Penolong jurulatih Felcra, Roslee Md Derus, memaklumkan perkara itu kepada Nadi Arena dengan mengesahkan pasukan itu tidak akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Situasi itu mengundang kekecewaan buat Roslee dan barisan pemain Felcra yang sebelum ini berhempas-pulas meraih posisi naib juara Liga Perdana.

Berita saat-saat akhir seperti itu menyukarkan pemain-pemain mendapatkan majikan baru memandangkan kebanyakan pasukan sudah mendapatkan pemain yang diingini.

"Kami terus menunggu keputusan itu sebelum ini.

"Apabila masih tiada pengesahan sehingga tarikh tutup semalam, ia secara rasmi menunjukkan Felcra akan menarik diri daripada saingan musim depan.

"Saya berasa sedih memandangkan kami sudah melakukan yang terbaik sehingga layak ke peringkat Liga Super," katanya.

Selain itu, Roslee berharap pihak pengurusan Felcra tidak bersikap lepas tangan dalam urusan berkaitan gaji dan hal-hal lain sebelum kontrak mereka berakhir bulan depan.

"Saya berharap pihak pengurusan akan menyelesaikan segala keperluan kami seperti tuntutan gaji dan baki kontrak pemain bagi mengelakkan masalah buat semua pihak," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen