Rashid mahu bawa kes paksaan ke Jawatankuasa Integriti FAM

Oleh Penulis Jemputan 12 November 2018 1018
Rashid mahu bawa kes paksaan ke Jawatankuasa Integriti FAM
"Saya akan bawa kes ini kepada Jawatankuasa Integriti FAM."

Demikian tegas Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang mendakwa mempunyai bukti kukuh terdapat unsur paksaan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi penggal 2018-2022.


Rashid yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat masih terkejut dengan pencalonan diterimanya hanya 12 berbanding 16 pada peringkat awal.

Beliau mendakwa mempunyai bukti kukuh berdasakan salinan borang pencalonan semua ahli gabungan yang menyokongnya.

Rashid tidak teragak-agak menuntut perkara itu disiasat Jawatankuasa Integriti, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau mahu Kongres KLFA Ke-31 yang dicadangkan Ahad ini ditangguh buat seketika kerana banyak unsur-unsur meragukan.

"Pasukan saya telah melakukan beberapa langkah dan mereka akan melaporkan kepada jabatan-jabatan yang berkaitan kerana KLFA tertakluk kepada badan yang lebih tinggi," katanya.

Selain itu, Rashid menuntut pemilihan kali ini diuruskan oleh satu badan berkecuali, selari dengan peruntukan Artikel 21(6) KLFA.

Baginya, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, berada dalam pihak berkepentingan kerana turut bertanding bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif KLFA.

"Saya dapati ada paksaan dan perjanjian untuk mengubah nama-nama yang tersenarai.

"Saya mengharapkannya tidak berlaku kerana ia sepatutnya dilakukan secara sukarela," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen