Rangel tenang tunggu jaringan pertama

Oleh Penulis Jemputan 5 Jun 2018 802
Rangel tenang tunggu jaringan pertama
Penyerang Kedah, Paulo Rangel, bertekad untuk meraih gol pertamanya bersama Lang Merah dalam aksi Liga Super berdepan Kelantan malam ini, sekali gus merakamkan tiga mata di Alor Setar.

Aksi berdepan Kelantan adalah penampilan ketiga Rangel bersama Kedah selepas kembali ke Liga Super daripada saingan Liga Satu Thailand ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka, baru-baru ini.

Rangel tidak tertekan dengan ketandusan gol dalam dua aksi pertamanya di Kedah kerana percaya dia kini semakin serasi dengan rakan sepasukan yang lain.

"Seperti saya katakan, segalanya berlaku pantas. Saya tidak memiliki banyak masa tetapi bernasib baik kerana mempunyai rakan sepasukan yang bagus dan berkualiti, termasuk barisan pemain import dalam pasukan. Mereka memudahkan tugas saya.

"Saya berharap dapat beraksi baik untuk mendapatkan mata penuh malam ini," ujar Rangel.

Dalam masa sama, kapten dan tonggak Kedah, Baddrol Bakhtiar, turut menyasarkan keputusan positif ke atas Kelantan, malam ini.

Bagi Baddrol, kemenangan ke atas Kelantan menjadi perkara penting selepas kekalahan 2-0 kepada Melaka sebelum ini.

"Kami akan bermain untuk mendapatkan tiga mata penting kerana terlepas peluang sewaktu tewas di tangan Melaka. Ia dijadikan pengajaran dan akan diperbaiki dalam aksi di Darulaman malam ini," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen